Foto kredit : Nadine Aurora @ https://www.flickr.com/photos/auroraki/3846797300/

Pernah tak dengar perkataan “Lazy Susan”? Bunyinya seperti asing namun saya percaya ramai sudah melihatnya.

Panggilan ini bukan merujuk kepada manusia yang malas bernama Susan, namun ia merujuk kepada kelengkapan meja makan iaitu dulang hidangan berputar. Bagi penggemar makanan Cina pasti ia tidak asing lagi kerana sering ada terletak di atas meja makan di kebanyakan restoran makanan Cina.

Fungsi dulang hidangan berputar ini tentunya agar hidangan makanan yang disediakan dapat dijangkau oleh semua tetamu yang duduk di meja makan tersebut dengan hanya memutarkan sahaja dulang tersebut. Lazy Susan lazimnya dibuat dari bahan kayu, plastik atau gelas kaca.

Dalam kalangan masyarakat Malaysia, dulang hidangan berputar ini dibina sekali dengan bekas meletakkan makanan berbentuk bulat (dome) yang diperbuat dari besi tahan karat (stainless steel) untuk meletakkan makanan. Ia lazimnya digunakan dalam majlis rasmi, perkahwinan dan lain-lain lagi.

Penggunaan awal “Lazy Susan” sebagai istilah untuk dulang hidangan berputar dijumpai dalam majalah Good Housekeeping pada tahun 1906. Ia istilah yang misteri daripada pelbagai teori yang mungkin munasabah untuk dipercayai. 2 teori yang sering disebut-sebut ialah,

1.

Istilah Lazy Susan dipercayai bermula dengan nama biasa yang wujud dalam kalangan pembantu rumah. Oleh itu, penciptaan sebuah alat baharu (dulang hidangan berputar) untuk membantu memudahkan “Susan” si pembantu rumah untuk menghidangkan makanan kepada ahli rumah diberi jolokan secara jenaka dengan nama “Si Pemalas Susan”.

2.

Teori kedua pula menunjukkan bahawa “Lazy Susan” adalah sempena nama bunga “Blacked-Eye-Susan” (tajuk sebuah puisi) atau Bunga Daisy Kuning (Rudbeckia Hirta). Bunga tersebut mempunyai stamen (pusat bunga) yang berwarna coklat gelap dengan kelopak (petal) berwarna kuning.

Puisi bertajuk “Blacked-Eye-Susan” ditulis oleh John Gray, seorang penyair Inggeris. Populariti bunga Susan yang bermata hitam yang mirip seperti dulang hidangan berputar yang dilingkari oleh petal-petal kuning yang indah seakan-akan berpusing. Mungkin dari situ ilham nama “Daisy Susan” terhasil yang akhirnya disebut menjadi “Lazy Susan” kerana rima akhirnya sama.

Walau apapun namanya,

saya percaya kewujudan dulang hidangan berputar dengan nama “Lazy Susan” yang misteri itu, telah banyak memudahkan tetamu mengambil makanan di atas meja, tanpa perlu meminta tetamu di hadapan kita (yang sedang fokus makan) mengambilkan makanan yang jauh untuk diberi kepada kita.

#PerundingImejGOMEN
#IMAGenius

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *